April 11, 2010

Sesetengah Nikmat Itu....

Sesetengah nikmat itu, datang hanya sekali..tetapi bersyukur kena selalu.

Ada sepasang suami isteri yang hidup sangat bahagia. Tidak ada kurangnya bagi pasangan yang dilimpahi dengan kemewahan ini kecuali satu..mereka tidak punya anak walau telah lama berumahtangga. Sering mereka bercerita tenteng betapa indahnya hidup sekiranya punya seorang anak penyejuk mata. Rasa ini bergolak hebat apabila melihat kepada jiran sekeliling yang sentiasa riuh rendah dengan bunyi hilai ketawa anak-anak, kadang-kadang tangisan  nyaring.
Apa yang menarik tentang Mr & Mrs Perfect ini :
Susun atur dalaman rumah mereka yang rapi, kekemasan sentiasa pada tahap maksimum dan semua benda mesti berjalan seperti yang dirancang dan dijadualkan. Rutin hidup mereka semuanya berjalan seperti dalam catatan diary dalam kerapian tahap tertinggi. Nota semakan kerja rumah tergantung pada peti ais, pada white board pula senarai semakan keberkesanan, perancangan pula dalam buku management tersendiri. Dengan tekun semua ini diulang-ulangi saban hari, bulan dan tahun...
Pada suatu hari yang indah, siisteri bergegas memberitahu jiran tetangga berita gembira yang dikongsi bersama dengan sambutan syukur hampir seluruh kawasan kejiranan berhampiran. Menurut doktor, mereka bakal menimang  cahayamata. Kegembiraan jelas terpancar pada pasangan ini.ucapan tahniah datang mencurah-curah..
Begitu pantas masa berlalu..Akhinya sampailah saat yang mendebarkan..anak yang ditunggu dilahirkan dengan selamat. Bayi lelaki comel ini benar-benar memberi sinar pelengkap kasih sayang didalam rumah itu.
Tiga tahun berlalu, anak lelaki ini membesar dengan sihat dan subur...sesubur perhatian dan belain dari ayah dan ibu. Namun berlaku sesuatu yang tidak diduga oleh ibu selama ini. Sianak ini mempunyai perangai yang 100% berbeza dengan sikap ibunya. Kalau ibunya sangat kemas, sianak ini akan mengeromot segalanya. Rumah yang selama ini kemas teratur seringkali bertukar wajah menjadi seperti selepas perang kena penangan anak ini. Keadaan tidak terkawal, anak ini mungkin telah dimanjakan berlebihan..
Siibu merintih derita..apa yang berlaku ini bertentangan sama sekali dengan kanun dirinya. Semua mesti sempurna! sampai pada tahap ini siibu selalu terlanjur cakap bahawa mempunyai anak sebenarnya satu kesilapan. Anak bukan penyejuk mata, sebaliknya peragut ketenangan.
Bagi mendidik si anak, ibu terpaksa menggunakan kekerasan, cubit, rotan dan meminta dia berikrar untuk tidak mengulanginya kembali.."mama...abang minta maaf, abang tak akan ulang lagi.." itulah ungkapan yang diajar setiapkali kesalahan dibuat.
Satu lagi tabiat yang pelik bagi anak ini, ialah dia akan mengoyak kertas yang dijumpainya dan dibiarkan bersepah merata-rata. Cubitan dan kemarahan tidak berjaya mengubah tingkah lakunya. Dia masih dengan tabiat menyepah-nyepah kemudian rumah jadi bingit dengan leteran dan bahang kemarahan ibu. Begitulah yang sering berlaku.
Pada suatu hari, siibu bergegas mengemas rumah kerana kawan lamanya bakal datang melawat. Dia ke dapur memasak hidangan untuk tetamu yang bakal datang.Bila dia membawa makanan untuk dihidangkan, alangkah terkejutnya apabila dia melihat ruang tamu bersepah, sofa tunggang langgang dan koyakan kertas berterabur disana sini.
"Abangggg! mari sini!!!!"Jeritan siibu memanggil anaknya lebih kuat dari biasa. Kemarahannya mencecah siling kesabaran dan membakar rentung ladang hemahnya.
Sianak ketakutan lalu lari meluru ke pintu, siibu mengejar dari belakang. Nafasnya tertahan-tahan menahan marah. Kaki anak melangkah keluar dari rumah dengan larian yang deras. Sesaat dia telah berada dihadapan pagar.
Tiba-tiba terdengar suatu bunyi hentaman keras. larian ibu terhenti. Wajah terasa basah tepercik sesuatu. Dia terpaku. Alangkah terkejutnya apabila melihat anaknya menggelupur kesakitan berhampiran longkang besar ditepi rumahnya. Basah dimuka tadi rupanya darah sianak..
Dia tidak memperdulikan lagi pada kereta yang melanggar anaknya. Dia meluru mendapatkan anak dan merangkulnya. Darah merah ada dimana-mana..dada anak berombak-ombak, tubuh kekejangan..terdengar bunyi rengekan menahan sembilu kesakitan yang teramat. Tanpa berlengah, dia terus memandu keretanya, anak diletakkan keatas ribanya.Tubuhnya kini dibasahi darah merah segar anaknya..Dia memecut laju ke hospital.
"Ya Allah, tolonglah selamatkan anakku ini.." doanya dalam raungan kuat sambil memandu laju. Hon dibunyikan bertalu-talu meminta laluan daripada pemandu lain.
"Ya Allah, aku tahu aku gagal menjadi ibu yang baik, tetapi aku memohon sekali ini..Ya Allah selamatkanlah anakku ini..". Airmatanya bercucuran dengan deras menitis tumpah dan bergaul dengan darah merah anaknya. Perjalanan terasa begitu jauh dalam keadaan begini. Nafas anak tercungap-cungap. Dari mulut, hidung dan juga telinga, darah terus mengalir begitu deras. Sianak bergelut dengan kesakitan, dada berombak kuat, setiapkali dia membuka mulutnya, darah bercucuran keluar.
Anaknya seperti ingin menuturkan sesuatu, siibu menangis semahunya.."mama..maafkan abang.." ungkapannya sukar dan tersekat-sekat kerana kesakitan.."abang janji, tak akan buat lagi..". Itulah ungkapan yang selalu dituturkan apabila ibunya marah. Ibu memegang mulut sianak..hatinya menangis.."..bukan ini yang ibu mahu dengar..".
Sebaik sampai dihospital, anak dikejarkan ke bahagian kecemasan. Ibu menunggu di luar. Dia membuat panggilan kepada suami dan mengurus segala prosedur yang patut. Dengan baju dipenuhi darah, tanpa rasa malu pada orang sekeliling yang melihatnya, dia menangis sekuat hati. Rasa sesal mengasak kuat segenap ruang hatinya.
"Ya Allah, berilah aku peluang kedua untuk menjadi ibu yang baik, aku sedar kesilapanku..".
"Ya Allah, selamatkanlah anakku hari ini..". Doa tidak pernah putus dari bibirnya, dengan permohonan setulus-tulusnya kepada Tuhan.
Setelah lama menunggu tiba-tiba doktor keluar. Bebola matanya merenung penuh pengharapan pada doktor.
"Puan, maafkan kami..kami telah cuba melakukan yang terbaik.". Patah bicara doktor satu-satu menyusun kalimah.
"Anak Puan, telah meninggal dunia..". Hanya itu yang mampu dituturkan walaupun selalu, tetapi sukar untuk menjelaskan kepada ibu ini.
Dunia terasa seperti pasir jerlus yang menyedut dengan deras kedalam, kepingan langit sekeping-sekeping
menghempas ubun-ubun kepalanya. Alangkah sakitnya hakikat ini. Dalam tangisan berderai, dia meluru dan merangkul sekujur tubuh anaknya dengan mata tertutup rapat. Kesakitan telah tiada bersama nafasnya yang berangkat pergi buat selama-lamanya..
" Sayang..kamu tidak mendapat apa yang sepatutnya ibu berikan disepanjang perjalanan pendekmu ini..". Ibu mencium semahu-mahunya, namun wajah itu hanya kaku..dingin sekali. Jenazahnya kemudian diuruskan hingga selesai sempurna. Malam itu, apabila lampu tidur dimatikan dan kawasan kejiranannya sunyi, ibu keluar ke kawasan tong sampah di hadapan rumah. Dia menyelongkar sampah semalam mencari koyakan kertas anaknya. Malam itu di ruangtamu rumahnya, penuh koyakan kertas yang ditaburkan. Dengan nada lemah sekali, bersama lelahan airmata hangat, ibu berkata.."Alangkah indahnya andai ini yang ibu lihat setiap hari disepanjang hidup ini..ibu rindu kepadamu..ibu rindu pada nakalmu..ibu rindu pada koyakan kertas ini..tapi kenapa ibu buta tentangnya selama ini..?".
Tangisan hanyalah saksi bisu dengan irama tersendiri..namun hakikat yang terpaksa direngguk ialah semua itu tidak boleh diulangi lagi..Anak comel itu tidak akan pulang lagi ke rumah sampai bila-bilapun..
Benarlah..sesetengah nikmat itu hanya datang sekali, kerana itu nikmati dan syukurilah..bersyukurlah sentiasa..
Amat malang kerana kita selalu sedar dan menghargai sesuatu, hanya selepas nikmat itu terlerai dari genggaman..

No comments: