May 11, 2010

Ibuku Seorang Pembohong - A Very Touching Story With Millions Of Messages

Memang sukar untuk orang lain percaya, tapi itulah yang berlaku..Ibuku memang seorang pembohong. Sepanjang ingatanku sekurang-kurangnya 8 kali ibu telah membohongiku..
Aku perlu mencatatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan anda sekelian..

Cerita ini bermula ketika aku masih kecil lagi..Aku lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Ada kalanya selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan ikan masin yang dikongsi satu keluarga. Sebagai anak yang masih kecil, aku seringkali merungut. Aku menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan ibu sering membahagikan bahagian nasinya untukku. Sambil memindahkan nasi ke pingganku, ibu berkata.."makanlah nak, ibu tak lapar.." - PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA.

Ketika saya mulai besar, ibu yang gigih sering meluahkan waktu senggangnya untuk pergi memancing di taliair berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik.
Pulang dari memancing, ibu memasak gulai segar dan mengundang selera. Sewaktu saya memakan gulai ikan itu, ibu duduk disamping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi. Saya sedih melihat ibu seperti itu. Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat mengelaknya sambil berkata "makanlah nak..ibu tak suka makan ikan.." - PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.

Diusia awal remaja, saya memasuki sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya, abang dan juga kakak.
Suatu dinihari iaitu lebih kurang jam 1.30 pagi, saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu membuat kuih dengan bertemankan sebuah pelita minyak tanah dihadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terhangguk-hangguk kerana mengantuk. Saya berkata "Ibu, tidurlah..esok pagi ibu kena pergi kebun pula..". Ibu tersenyum dan berkata.."pergilah tidurlah dulu nak..ibu belum mengantuk lagi..". - PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA.

Dihujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas mula menyinari. Ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat kamit berdoa kepada Ilahi agar saya lulus peperiksaan ini dengan cemerlang.
Ketika loceng bebunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih kental.
Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi, ibu cepat-cepat mengelak dan berkata.."minumlah nak..ibu tak haus!!". - PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT.

Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan. Tapi, apalah sangat kudrat seorang ibu..
Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami datang untuk membantu ibu. Anehnya ibu menolak bantuan itu.
Jiran-jiran seringkali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata..."saya tidak perlukan cinta..saya tidak perlukan lelaki.." - PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.

Setelah abang dan kakak habis belajar dan mula bekerja, ibu sudahpun tua. Kakak dan abang menyuruh ibu berehat saja dirumah. Tidak perlulah lagi ibu bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya. Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirim wang untuk membantu ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan berkata.."jangan susah-susah, ibu ada duit.." - PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM.

Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan lagi pelajaran keperingkat sarjana di luar negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang. Saya kemudiannya bekerja dengan syarikat tersebut.
Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara.Pada pandangan saya, ibu sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan. Alangkah indahnya jika hari-hari tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula.
Tetapi, ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata " tak payahlah nak..ibu tak biasa tinggal di tempat orang.." - PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH.

Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua. Suatu malam, saya menerima berita ibu diserang sakit kanser. Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh diseberang samudera terus segera pulang untuk menjenguk ibu tercinta.
Saya melihat ibu terbaring lemah dikatil hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua itu menatap wajah saya dengan penuh kerinduan. Ibu menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku. Ibu kelihatan terpaksa menahan kesakitan yang menjalari setiap inci tubuhnya. Saya dapat melihat dengan jelas betapa penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus.
Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan airmata. Saya kucup tangan ibu, pipi dan dahinya. Disaat itu, hati saya terlalu pedih..sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini..
Tetapi, ibu tetap tersenyum dan berkata.."jangan menangis nak..ibu tak sakit.." - PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN.

Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda masih boleh merangkul dan menciumnya.
Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang dan katakan.."ibu..saya sayangkan ibu..".
Tapi tidak saya..Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat..kerana biarpun saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga  ibu..

Ibu...maafkan saya..tatkala ini, dulu dan selamanya saya amat menyayangi ibu....

  

No comments: